logo_lkpim

SEJARAH

LEMBAGA KEBAJIKAN PEREMPUAN ISLAM MALAYSIA NEGERI KEDAH

LKPIM Perhubungan Negeri Kedah bermula daripada hasil usaha dan galakan KDYMM Tuanku Sultanah Hajah Bahiyah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Baginda telah menjemput kira-kira 20 orang wanita ke istana pada 15 Mei 1968 bagi membincangkan penubuhannya. Hasil daripada perjumpaan itu, tertubuhlah LKPIM Perhubungan Negeri Kedah yang dirasmikan oleh YAM Tunku Puan Besar Kurshiah pada 9 Oktober 1968 di Dewan Balai Besar Kedah.

Perasmian itu telah dihadiri oleh kira-kira 270 orang wanita yang datang dari seluruh negeri Kedah.

KDYMM Tuanku Sultanah telah dilantik menjadi Penaung, sementara Ahli Jawatankuasa pertama terdiri daripada Datin Hajah Nurulkiah Haji Laidin sebagai Pengerusi; Tun Dr. Siti Hasmah Haji Mohd. Ali sebagai Naib Pengerusi; Puan Rahmah Nor Shukor sebagai Setiausaha; Puan Hajah Siti Bidayah Haji Din sebagai Bendahari. Pengerusi ketika itu dibantu oleh sembilan orang Ahli Jawatankuasa.

INFO SEJARAH

Ditubuhkan pada 1968

Dirasmikan oleh YAM Tunku Puan Besar Kurshiah pada 9 Oktober 1968 di Dewan Balai Besar Kedah.

12 Cawangan Daerah

Mempunyai Pengerusi yang dibantu oleh ahli-ahli jawatankuasa peringkat daerah untuk menjalankan setiap aktiviti. 

5000 Ahli Berdaftar

Ahli seumur hidup seramai 500 orang manakala 4800 orang adalah ahli biasa dan keahlian semakin meningkat

AGENDA KELAB

Seperti juga pertubuhan-pertubuhan lain yang berlandaskan Agama Islam, LKPIM Perhubungan Negeri Kedah banyak menabur jasa dari segi kebajikan seperti memberi bantuan kepada fakir miskin, orang cacat, anak yatim dan orang tua di setiap daerah.

Bantuan yang diberikan berbentuk pakaian sekolah, wang peperiksaan dan wang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. LKPI Perhubungan Negeri Kedah juga membantu dalam bencana alam seperti banjir, ribut dan kebakaran. Selain itu, LKPIM Perhubungan Negeri Kedah juga mengambil bahagian dalam program kerajaan negeri dan negara.

Pencapaian LKPIM Perhubungan Negeri Kedah yang patut dibanggakan adalah dengan tertegaknya bangunan Rumah Perlindungan Nurul Hana pada tahun 1994 atas usaha Pengerusinya, Dato' Hjh. Daharah binti Ismail.

Rumah ini bertujuan untuk menempatkan anak-anak gadis dan wanita yang bermasalah. Rumah yang menjadi tempat penempatan sementara ini juga cuba membantu mereka supaya dapat menjalani kehidupan yang wajar. Rumah Perlindungan Nurul Hana telah dibuka secara rasminya oleh Almarhum Tuanku Alhaj Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman pada 29 Oktober 2000.